Pelajar 24 Tahun Dari Hulu Terengganu Ditawar Buat PhD Biokimia Di Universiti Oxford


KAMPUNG KEMAT – Pelajar cemerlang yang sedang mengikuti bidang Sarjana Sains Biokimia di Universiti Oxford, United Kingdom, Mohd Firdaus Samsudin@Mustapha, 24, sekali lagi melakar sejarah tersendiri apabila muncul anak negeri pertama ditawarkan mengikuti pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) di universiti paling berprestij di dunia itu.

 

Anak kedua Samsudin @ Mustapha Mamat, 62, dan Rohani Long Ahmad, 55, yang berasal dari Kampung Kemat, Hulu Terengganu itu akan memulakan pengajian peringkat PhD bermula bulan ini. Berkongsi kegembiraan, Mohd Firdaus atau lebih mesra dipanggil Angah berkata, tawaran menyambung pelajaran ke peringkat PhD bidang Biokimia selama empat tahun itu disifatkannya hadiah untuk ibu bapanya.

“Tempoh pengajian di peringkat Sarjana sepatutnya selama dua tahun. Bagaimanapun, saya telah mendapat tawaran mengikuti PhD oleh pihak universiti berkenaan dan sepatutnya pengajian masih berbaki setahun lagi. “Tawaran ini sekali gus mencapai impian saya untuk menyambung pengajian di peringkat PhD, cuma tidak sangka, ia digapai secepat ini, bagaimanapun saya bersyukur apatah lagi ibu bapa sentiasa berdoa untuk kejayaan saya serta adik-beradik lain,” katanya.

Menurut Mohd Firdaus, walaupun masih muda berbanding penuntut PhD lain yang sudahpun berkahwin dan mempunyai anak, namun ia bukan halangan sebaliknya kelebihan kepadanya kerana boleh memberikan sepenuh tumpuan pada pelajaran tanpa memikirkan soal keluarga ataupun anak-anak. “Paling penting, saya perlu berusaha lebih gigih kerana semua pelajar di sana terdiri daripada mereka yang genius. Persaingan sihat ini menjadi pemangkin semangat untuk terus berjaya selain dapat menghabiskan pengajian di peringkat PhD,” katanya.

Menyentuh perancangan masa hadapan, Mohd Firdaus berhasrat bekerja di sana terlebih dahulu bagi menimba pengalaman selain peluang yang lebih banyak, namun akhirnya dia akan tetap kembali ke tanah air untuk mencurahkan bakti. “Saya menaruh keinginan untuk bekerja di syarikat berorientasikan farmasi atau ubat-ubatan kerana berminat menjalankan penyelidikan berkaitan perkara ini. Berdasarkan perancangan, saya ingin bekerja di sana dahulu selepas ini. “Bagaimanapun, ia cuma sementara untuk menimba pengalaman terlebih dahulu kerana matlamat saya ialah ingin berbakti di tanah air. Malah, jika berpeluang saya ingin bekerja di negeri kelahiran iaitu Terengganu,” katanya.

Ditanya mengenai sosial pergaulan sepanjang melanjutkan pelajaran di tempat orang selama ini, Mohd Firdaus berpegang teguh dengan prinsipnya untuk kekalkan sahsiah agar tidak mudah terpengaruh dengan pelbagai ragam kawan-kawan. “Tidak dapat dinafikan, ada dalam kalangan pelajar Malaysia berubah sikap apabila belajar di luar negara dan dalam hal ini saya melihat kawan-kawan banyak mempengaruhi corak kehidupan. Oleh itu, saya juga perlu bijak berkawan. “Ramai dalam kalangan pelajar dari negara-negara Eropah, bagaimanapun saya tidak mengalami masalah dalam pergaulan kerana kawan-kawan cukup menghormati saya sebagai seorang Muslim.

“Hobi saya sebenarnya suka membaca, namun saya tetap meluangkan masa keluar bersama kawan-kawan termasuk menonton wayang sebagai hiburan. Pesanan ibu bapa juga sentiasa saya sematkan dalam hati serta dipegang kuat sebagai azimat benteng pertahanan diri,” katanya. Sementara itu, Samsudin berkata, sebagai seorang bapa sudah pasti dia berbangga melihat pencapaian anaknya itu apatah lagi pada usia masih muda dan berharap kejayaan demi kejayaan dapat dilakar selepas ini. Samsudin berkata, dia dan isterinya memberi layanan sama rata kepada kesemua anak dan tidak memaksa memaksa mereka belajar, sebaliknya memberi galakan selain menjaga sumber rezeki.

“Aspek kerohanian juga sentiasa diterapkan kepada empat anak saya yang kesemuanya lelaki. Selepas solat Maghrib setiap malam Jumaat, kami jadikan amalan membaca surah Yasin seisi keluarga sebagai rutin.,” katanya. SINAR HARIAN